
Oleh: Fatin Hanani Sahimi
KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan beberapa isu lama yang terus membelenggu guru-guru sekolah rendah.
Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, ia terutamanya melibatkan isu pelantikan dan penempatan guru.
“Selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif yang diadakan hari ini, NUTP menyuarakan kebimbangan terhadap tiga perkara utama yang didakwa masih belum diberi perhatian pihak berwajib.
“Pertama kami merayu agar guru-guru gred DG48, guru biasa atau dalam SSPA sekarang ini berada pada gred DG12, diberi ruang untuk dilantik sebagai Penolong Kanan.
“Apa yang berlaku sekarang apabila guru biasa telah berada pada gred DG12 ataupun gred DG48, mereka tidak boleh dilantik sebagai Penolong Kanan,” katanya kepada Buletin TV3.
Selain itu, pihaknya turut membangkitkan isu guru Penolong Kanan yang berada pada gred sama, namun tidak dibenarkan bertukar sekolah meskipun terdapat keperluan mendesak.
“Di samping itu, isu Guru Besar sekolah rendah yang telah dinaikkan ke Gred DG13 atau DG52 di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM), tetapi kemudiannya perlu diturunkan kembali sebagai guru biasa,” ujarnya.
Mengulas lanjut, jelasnya, pada 13 Julai lalu Perdana Menteri, semasa Sambutan 50 Tahun NUTP, memberikan tempoh dua minggu kepada JPA untuk meneliti isu berkenaan.
“Namun sehingga kini, tiada sebarang maklum balas diterima daripada pihak JPA. Justeru, kami sekali lagi merayu agar perkara ini diberi perhatian segera,” katanya lagi.